Salam semua. Ok tau tak spesies
pokok hutan Aquilaria rostrata, yang selama ini dianggap pupus selepas kali
terakhir ditemui kira-kira 100 tahun lalu, berjaya ditemui semula oleh
penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM). Wow ! hebat kan. J
Pokok dari genus Aquilaria
dikenali sebagai pokok karas kebiasaannya dikaitkan dengan gaharu yang bernilai
tinggi. Spesies itu yang juga dipanggil Karas Gunung atau Chandan Gunung
ditemui di kawasan hutan Gunung Tebu, Besut di Terengganu, kira-kira 100
kilometer dari kawasan ia pertama kali ditemui dahulu iaitu di Gunung Tahan,
Pahang.
Kumpulan penyelidik UPM yang
diketuai Pensyarah, Jabatan Pengurusan Hutan, Fakulti Perhutanan, Profesor Madya Dr. Rozi Mohamed menemui populasi pokok
itu semasa melakukan kajian di lapangan dengan bantuan anggota renjer dari
Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu pada pertengahan tahun lalu.
“Pada awalnya kami menyangkakan
ia spesies baharu tetapi setelah membuat perbandingan dengan spesimen berusia
100 tahun di Herbarium Botanic Gardens, Singapura kami mendapati ia adalah
A.rostrata,” katanya dalam satu kenyataan.
Penemuan terbaru ini mematikan
anggapan dan kebimbangan berkenaan spesies itu sudah pupus.
Selepas lebih 100 tahun daripada
penemuan pertamanya, ia disenaraikan dalam International Union for Conservation
of Nature (IUCN) Red List dan dianggap sudah pupus.
Dr. Rozi berkata spesies itu
ditemui di kawasan pokok-pokok balak yang sudah ditebang, di kawasan yang
berketinggian kira-kira 700 meter dari aras laut. Katanya,dianggarkan 50 pokok
telah ditemui dalam populasi tersebut, yang berketinggian antara 2 hingga 5
meter dan berukuran lilit (dbh) antara 3 dan 4 sentimeter. Ketika ditemui,
pokok itu sedang berbunga dan berbuah.
Menurutnya, spesies itu pertama
kali ditemui pada 1911 di Kem Wray’s, Gunung Tahan oleh H.N.Ridley dan
dilaporkan pada 1924, namun laporan berkenaan tidak menyatakan saiz pokok
tersebut.
“Spesies ini adalah endemik… ia
tidak terdapat di tempat lain, hanya di Semenanjung Malaysia sahaja dan
terancam kepupusan,” kata Dr. Rozi.
Bagaimanapun, beliau berkata,
aktiviti pembalakan secara mampan telah membuka laluan dan merintis jalan untuk
kumpulan penyelidik UPM boleh sampai ke kawasan habitat spesies tersebut.
“Kami berjaya menemui semula
populasi A.rostrata… penemuan terbaru ini memberi sinar dan harapan bahawa satu
daripada sumber alam semulajadi negara ini tidak mengalami kepupusan,” katanya.
Justeru, katanya, kawasan
berkenaan perlu dijaga dan spesies ini dipulihara agar dapat tumbuh dan membiak
sebagai warisan alam serta mengelakkan daripada dicerobohi oleh pihak yang mahu
mendapatkan gaharu.
Menurutnya, penyelidikan
dijalankannya menggunakan dana Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS),
Kementerian Pendidikan Tinggi dan segala maklumat hasil penyelidikan dimasukkan
ke dalam pangkalan data DNA yang dibangunkan khas untuk Aquilaria di Makmal
Bioteknologi Hutan di Fakulti Perhutanan UPM. Katanya, hasil penemuan itu telah
dilaporkan dalam BLUMEA, sebuah jurnal reputasi tinggi dalam taksonomi tumbuhan
terbitan Leiden University, Netherland.
Wahh.. very impressive kan. Mesti
kumpulan penyelidik UPM tak pernah kenal erti putus asa dan sentiasa
komited dalam menjalankan penyelidikan sehingga berjaya seperti sekarang.
Credit to : laman web utama UPM
No comments:
Post a Comment